Apa yang berlaku di Kedah pada ketika ini merupakan satu lagi sandiwara yang dicipta oleh Perdana Menteri Malaysia bagi mencapai tujuan tertentu. Ia berkemungkinan untuk mengaburi mata rakyat tentang perjanjian TPPA yang bakal dimetrai, kisah 1MDB yang tidak berkesudahan, ekonomi negara yang semakin rapuh ataupun tentang 2.6 billion yang sedang asyik diperkatakan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Semua pelakon yang terlibat di dalam sandiwara ini adalah dikalangan “orang-orang kuat” Najib Razak. Ini kerana tiada seorang pun dikalangan mereka adalah ahli politik yang berani untuk membuat sesuatu perkara tanpa kebenaran daripada Perdana Menteri Malaysia itu. Apa yang menarik disini ialah, bukan sahaja strategi Najib gagal, tetapi ianya telah memberikan kelebihan kepada Mukhriz apabila rakyat Kedah menunjukkan sokongan padu kepadanya.
Ini jelas dapat dilihat apabila Mukhriz diserang hebat oleh “warlord-warlord” UMNO, tanpa apa-apa perancangan awal, lebih 1000 penyokong Mukhriz hadir di hadapan Bangunan Tunku, Alor Setar untuk menyatakan sokongan. Apa yang terjadi adalah satu tanda bahawa Kedah yang pernah tumpas ditangan Pakatan Rakyat sebelum ini tidak mempercayai warlord UMNO.
Yang paling lucu di dalam sandiwara ini adalah apabila warlord UMNO Kedah yang terdiri daripada para politikus UMNO yang paling korup menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap Mukhriz yang belum lagi kedengaran berita buruk tentangnya. Mukhriz belum lagi terpalit di dalam mana-mana kes rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Boleh dikatakan kesemua yang ingin menukarkan Mukhriz Mahathir adalah mereka yang telah tersedia mempunyai kes-kes penyelewengan yang masih belum dibawa kemuka pengadilan.
Pertemuan Najib dan ketua-ketua bahagian di PWTC Kuala Lumpur juga gagal mendatangkan apa jua kebaikkan kepada sandiwara yang dihasilkan oleh beliau. Usaha Najib untuk menutup isu-isu sedia ada dan menjatuhkan Mukhriz Mahathir nampaknya telah gagal. Sekali lagi Najib menerima tamparan hebat hasil dari tindakan bodohnya sendiri.
P/S: Ada portal kerajaan menyatakan bahawa tindakan UMNO Kedah menolak Mukhriz adalah tindakan mereka sendiri dan tiada kaitan dengan Najib Razak. Penulis katakan kepada pengendali portal-portal ini silalah bangun dari tidur. Kalau Azeez Abdul Rahim (Pengerusi Tabung Haji & Ahli Parlimen Baling) ada disitu, maka ianya adalah arahan Najib Razak. Azeez Abdul Rahim adalah seorang politikus yang begitu taat dan setia kepada Najib Razak. Pendek kata, kalau Najib suruh Azeez duduk, maka duduklah Azeez. Kalau disuruh berdiri, maka berdirilah dia.